Saturday, 12 May 2012
Sejarah Bahasa Arab
Saturday, May 12, 2012
ITTILA'
No comments
Sejarah Bahasa Arab di
Kepulauan Melayu
Sumber : http://pba-upsi.blogspot.com
TARIKH
kedatangan bahasa Arab ke kepulauan Melayu secara umum dan ke Malaysia secara
khusus masih belum dapat dipastikan dengan tepat. Walau bagaimanapun, oleh
kerana bahasa Arab adalah bahasa al-Quran dan al-Hadis yang menjadi sumber
perundangan Islam, tarikh kedatangannya tidaklah sukar ditentukan jika ia
dihubungkaitkan dengan tarikh kedatangan Islam.
Kedatangan
Islam bermakna kedatangan bahasa Arab kerana kedua-duanya tidak dapat
dipisahkan. Bahkan kedua-duanya saling melengkapi antara satu sama lain. Islam
tidak akan dapat disebarkan tanpa bahasa Arab sebagai perantaraan. Tanpa Islam
sebagai isi kandungan, bahasa Arab berkemungkinan besar tidak membawa apa-apa
erti dan tidak akan berkembang seperti sekarang.
Sebenarnya
berbagai teori kedatangan Islam ke alam Melayu telah dikemukakan dan
dibincangkan secara panjang lebar oleh sarjana tempatan dan sarjana Barat.
Perbezaan antara teori tersebut adalah berkaitan dengan tarikh, daerah dan
faktor kedatangannya.
Secara
umumnya terdapat tiga teori utama tentang bagaimana cara kedatangan Islam dan
tarikhnya iaitu sama ada melalui pedagang dan mubaligh Arab atau pedagang India
atau pedagang Cina.
Fatimi
S.Q. berpendapat kedatangan Islam ke Tanah Melayu adalah secara
berperingkat-peringkat. Hubungan paling awal ini dianggarkan bermula pada tahun
671 Masihi iaitu pada abad ke-7 Masehi.
Hamka
pula menyatakan bahawa ahli sejarah Sir Thomas Arnold mengandaikan kedatangan
Islam ke Tanah Melayu adalah pada abad pertama Hijrah berdasarkan wujud
hubungan perdagangan antara saudagar-saudagar Arab dengan Kanton dan Ceylon.
Sacad
Syukri pada tahun 1971 berpendapat bahawa Islam telah bertapak di kepulauan
Melayu sebelum tahun 1188 yang bersamaan tahun 577 Hijrah. Ini berikutan
penemuan wang siling dalam bentuk tulisan al-Mutawakkil dan al-Julus Kelantan
pada tahun tersebut yang menunjukkan bahawa pemerintahan Islam telah wujud di
bawah kepimpinan al-Mutawakkil.
Menurut
Wan Husain Azmi, orang Arab telah mengenali Tanah Melayu sejak zaman kerajaan
Bani Umayyah (dari tahun 661 sehingga tahun 679, iaitu pada zaman pemerintahan
Muawiyyah Abi Sufyan). Kerajaan Bani Umayyah dikatakan telah merancang untuk
menghantar armadanya ke Tanah Melayu pada tahun 674.
Namun
rancangan tersebut terpaksa dibatalkan apabila mengetahui Tanah Melayu diperintah
oleh raja yang adil. Walau bagaimanapun rombongan perdagangan Arab telah datang
ke Tanah Melayu dan membuat hubungan dengan orang Melayu pada kurun ke-7 iaitu
pada 674 kerana sudah terjalinnya hubungan perniagaan orang Arab dengan orang
China dan orang India. Sehubungan itu terdapat kemungkinan bahawa perkataan
'Melaka' adalah berasal daripada perkataan Arab iaitu 'Mulq?' atau 'Multaq?'
yang bermakna tempat pertemuan.
Ada
ahli sejarah lain pula menyatakan pendapat yang paling berasas iaitu melalui pedagang
Arab secara langsung semenjak kurun pertama hijrah lagi iaitu sekitar abad ke-7
dan ke-8. Pandangan beliau disokong oleh sarjana tempatan yang telah menetapkan
tarikh kedatangannya pada sekitar abad ke-7, 8 dan ke-9.
Namun
kebanyakan sarjana Barat lebih cenderung melewatkan tarikh kedatangan tersebut,
iaitu pada abad ke-13 berdasarkan catatan Dinasti Yuan di China dan laporan
pengembaraan Marco Polo. Antara sarjana Barat tersebut ialah D.G. Hall yang
mengandaikan kedatangan tersebut adalah pada abad ke-15.
Dalam
konteks Tanah Melayu, seperti halnya dengan peringkat lain alam Melayu, sarjana
tempatan dan sarjana Barat telah memberikan tarikh yang jauh berbeza. Menurut
Syed Muhammad Naguib al-Attas, tarikh yang tercatat pada batu bersurat di Kuala
Berang, Terengganu, iaitu 4 Rejab 702 Hijrah yang bersamaan dengan 22 Februari
1303 menjadi bukti kedatangan Islam ke Tanah Melayu adalah pada abad ke-14 atau
lebih awal daripada itu.
Seterusnya
Abdul Rahman Abdullah pada 1990 berpendapat Islam sampai ke Tanah Melayu pada
tahun 30 Hijrah iaitu pada zaman Khalifah Uthman Affan (644-656 Masihi).
Berdasarkan
perbincangan di atas, perbezaan pendapat hanyalah berkisar tentang tarikh,
daerah dan faktor kedatangan Islam. Suatu hal yang pasti ialah kedatangan Islam
ke kepulauan Melayu bermakna kedatangan bahasa Arab ke kepulauan Melayu dan
penerimaan Islam oleh orang Melayu bermakna penerimaan istilah-istilah bahasa
Arab telah diterima pakai oleh orang Melayu.
Masyarakat
Melayu ketika itu secara umumnya mudah menerima istilah-istilah Arab dalam
kehidupan seharian mereka. Sehubungan itu kita berasa yakin untuk menggunakan
faktor ini sebagai asas kukuh dalam pembelajaran bahasa Arab di Malaysia.
Secara
teorinya, jika perbendaharaan kata dan istilah Arab mudah diterima, diguna
pakai dan dijadikan sebagai sebahagian daripada Bahasa Melayu sejak berzaman
maka sudah tentu masyarakat Melayu sekarang ini mudah untuk mengikuti
pengajaran dan pembelajaran Bahasa Arab.
0 comments:
Post a Comment