Abdullah bin Mas'ud berkata:
"Pengislaman Umar adalah satu kejayaan yang sangat besar. Penghijrahannnya ke Madinah menambahkan kekuatan dan pengkhalifahannya mendatangkan sebesar-besar rahmat kepada orang Islam".
Saidina Umar Al-Khattab r.a sangat dibanggakan oleh seluruh umat Islam dan sangat digeruni oleh orang-orang musyrikin. Pada awalnya beliau sangat kuat menentang Rasulullah S.A.W dan merupakan seorang musuh Islam yang sangat berani menyeksa orang-orang Islam sehinggalah beliau sendiri memeluk agama Islam.
Pada suatu hari orang-orang Quraisy bermesyuarat bagi melantik seseorang untuk menjalankan usaha untuk membunuh baginda Rasulullah S.A.W. Umar menawarkan diri untuk memikul tanggungjawab itu. Tawaran beliau mendapat sorakan daripada hadirin memandangkan beliau merupakan panglima perang Quraisy yang paling terkemuka dan handal. Umar lantas menggalas pedangnya di tengkuk lalu terus pergi untuk menyelesaikan tanggungjawab tersebut. Namun kekuasaan Allah telah menentukan segalanya. Sesungguhnya Allah telah memakbulkan doa nabi Muhammad SAW. Dalam munajat baginda, nabi menyebut:-
"Ya Allah! Engkau kuatkan Islam dengan salah seorang dari dua lelaki yang Engkau lebih sayang; Abu Jahl atau 'Umar bin Al-Khattab"
(Riwayat al-Tarmizi dan al-Hakim, dinilai sahih oleh al-Zahabi)
Dan riwayat lain menyebut:-
"Rasulullah SAW pernah berdoa ; "Ya Allah kuatkan Islam dengan Umar Al-Khatab atau Abu Jahal b. Hisyam"
(Hadtih riwayat At-Thabarani)
Lihatlah kekuasaan Allah azza wajalla. Seorang yang digeruni kaum musyrikin kerana kegagahannya menentang umat islam akhirnya digeruni kaum musyrikin atas keberaniannya membela agama Allah.
"Aslih Nafsak Wad'u Ghairak"
Apa kaitannya dengan islah nafsak wad'u ghairak? Apakah yang dimaksudkan dengan ayat di atas?
"Perbaikilah diri kamu, dan (pada masa sama) ajaklah orang lain."
Itulah kalimah yang diseru Allahyarham Sheikh Mustapha Masyhur, seorang tokoh Mursyidul Ikhwanul Muslimin kelima suatu ketika dulu. Kalimah itu menjadi butir-butir semangat bagi kita yang turut sama menggalas tugas khalifah yang diberikan Allah sebaik saja kita dipilih untuk dilahirkan ke dunia.
Maka bersyukurlah. Kita bukan pemula, bukan juga penamat tetapi penyambung jihad baginda Rasulullah s.a.w.
Perbaiki Diri
Perbaiki diri atau lebih signifikan disebut sebagai 'berubah menjadi lebih baik' adalah akar tunjang pokok-pokok dakwah. Hal ini kerana dakwah sewajarnya bermula dari dalam diri kita sendiri. Diri kita sendiri adalah aset yang paling berharga untuk memacu Islam di muka bumi. Sepertimana sebuah ungkapan, "Tegakkan Islam di dalam dirimu, nescaya akan tertegak Islam di watanmu".
1) Bila nak berubah?
Hendak berubah tidak perlu menunggu hari esok atau menanti hidayah datang bergolek. Setiap hari kita perlu berubah. Perlu menjadi lebih baik.
2) Bagaimana hendak berubah?
Berubah dengan Taubat... Menurut pandangan ibnu Abbas r.a, yang dimaksudkan dengan taubat ialah menyesal dengan hati, beristighfar dengan lidah dan berazam dengan kukuh tidak akan mengulangi perbuatan itu lagi.
3) Saya tak buat dosa. Kenapa perlu bertaubat?
Ramai orang alpa, antara manifestasi amalan taubat ialah cinta kepada Allah s.w.t. Setelah seseorang itu bertaubat, taubatnya membuahkan iman yang sebulat-bulatnya. Jika belum bertaubat, maka belum timbul rasa cinta yang sebenarnya kepada Allah Azza Wajalla. Tanda-tanda orang yang beriman secara sempurna terletak pada kecintaannya kepada Allah s.w.t dan rasulnya berbanding cinta kepada yang lain.
Taubat itu menyucikan jiwa agar kita lebih mudah untuk menerima kebaikan. Saya analogikan sebiji belon yang diisi dengan pasir, lebih berat untuk dilambung berbanding sebiji belon yang bersih berisi udara. Renungkan.
4) Saya dah cuba berubah, tapi ramai orang asyik kutuk-kutuk saja.
Kata orang, cinta berkuasa mengubah segalanya. Maka yakinlah, 'The Power Of Love Towards ALLAH' yang kita miliki mampu mengubah segalanya. Kita perlu jadi lebih berani berhadapan dengan persepsi masyarakat. Bebaskan diri kita daripada sifat lemah dan putus asa. Buktikan pada mereka, perubahan kita tidak sia-sia! Seterusnya, berdoalah. Doa itu kan senjata mukmin.
Ingatlah firman Allah yang bermaksud:-
"Janganlah kamu merasa hina dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika sekiranya kamu benar-benar orang-orang yang beriman."
(Surah Ali Imran ayat 139)
5) Orang tak hargai pun perubahan saya.
La tahzan! Usah gelisah jika perubahanmu tidak dihargai. Bukankah kamu berubah kerana Allah?Apabila kita berubah kerana Allah, secara automatiknya, pandangan Allah lebih berharga berbanding pandangan manusia. Hati yang ikhlas tidak perlu mengharapkan pandangan manusia. Kita tidak hidup dengan pujian, dan tidak juga akan mati disebabkan cacian.
Ingatlah firman Allah yang bermaksud:-
"Cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, kepada-Nya aku berserah diri, dan Dia lah yang mempunyai 'Arasy yang besar."
(Surah At-Taubah ayat 129)
6) Apa sebenarnya yang nak diubah ni. Tak fahamlah!
Ambil masa dan bermuhasabahlah. Meski kita tidak melakukan dosa-dosa besar seperti mensyirikkan Allah, membunuh, berzina dan sebagainya tetapi dalam tidak sedar dosa-dosa kecil yang acap kali dipandang enteng mula memakan amal-amal kebaikan kita.
Antara contoh kecil yang dapat kita lakukan ialah:
Tidak bertudung -> bertudung
Bertudung -> Menutup aurat dengan sempurna
Solat di akhir waktu -> Solat di awal waktu
Suka menyanyi -> suka baca Quran
Minat penyanyi korea -> Cintakan Nabi Muhammad
Dan... banyak lagi !
Ajak Orang Lain
Hadith nabi telah menyeru kita semua untuk meneruskan perjuangan dakwahnya. Maka telah menjadi tugas kita untuk menyampaikan dakwah ini kepada orang lain pula.
"Sampaikan daripada aku, walaupun sepotong ayat."
(Hadith riwayat Bukhari)
Apabila kita bergerak mengajak manusia lain ke arah kebaikan, insyaAllah diri kita akan mempunyai satu rasa sensitif untuk menjalankan peningkatan. Hal ini kerana, kita akan merasakan satu tolakan untuk lebih memperkemaskan diri apabila kita mula menyeru manusia ke arah kebaikan. Ini merupakan satu booster untuk peningkatan diri.
Tak mampu? Tak tahan? Segan?
Mari kita lihat ayat yang terakam di dalam Al-Quran. Allah telah berfirman yang bermaksud:-
"Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar."
(Surah Al-Asr ayat 1-3)
Sesungguhnya telah jelas kepada kita, orang-orang yang berpesan-pesan ke arah kebaikan itu terkecuali daripada golongan manusia yang rugi. Namun ditegaskan ayat tesebut dengan ayat "Demi Masa!" yang mana kita seharusnya cakna, kita tidak boleh berlengah lagi! Ayuh, bersegeralah menyeru ke arah kebaikan!
Usah bimbang jika kita dihina, diherdik mahupun dipulaukan. Itulah yang dinamakan ujian dan bukanlah namanya perjuangan kalau tak ditempuh mehnah berduri. Perkara penting yang perlu kita tahu, perbaiki diri kita, ajaklah orang lain ke arah kebaikan lalu pertingkatkanlah kemahiran dakwah kita.Firman Allah dalam kitabnya yang mulia:-
"Serulah kepada jalan Tuhanmu dengan penuh hikmah dan pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka dengan sebaik-baiknya"
(Surah An Nahl ayat 125)
Apa pula kaitannya dengan pengislaman Saidina Umar al Khattab r.a ?
Sirah nabawiyah bukan sekadar ilmu pengetahuan tetapi coretan yang telah Allah takdirkan untuk kita ambil iktibar dan dijadikan panduan. Lihatlah keberanian Saidina Umar r.a untuk membela agama Allah sedangkan pada awalnya dialah yang paling kuat menentang Islam. Berikutan itu juga, ramai yang mengikut jejaknya menganut agama suci ini sehingga catatan sirah juga turut menintakan bahawa zaman pemerintahan Khalifah Umar merupakan zaman kegemilangan Islam di mana berkembang luasnya wilayah-wilayah Islam.
Justeru, tiada yang mustahil untuk kita mengubah dan berubah ke arah yang lebih baik. Sejarah telah membuktikan, hakikatnya bermula dari diri sendiri. Allah tidak sekali-kali akan mengubah nasib hambaNya melainkan dia sendiri yang mengubahnya. Untuk berubah, maka perlunya mujahadah yang tinggi. Mujahadah itu juga satu perjuangan dan sesungguhnya perjuangan itu pahit, kerana syurga itu manis, dan jauh lebih manis dari kemanisan di dunia. Biarlah pahit untuk seketika asal kemanisan itu dimiliki untuk selamanya. Di Jannah!
Biodata Penulis
Rozawani bt Mohd Zakuan telah mendapat pendidikan dan tarbiyyah di SMKA Sultan Azlan Shah, Bota. Kemudian melanjutkan pelajaran ke Kolej Matrikulasi Perak dan akan melanjutkan pelajaran ke peringkat seterusnya. Mula berkecimpung dalam dunia penulisan selepas tamat persekolahan. Berhasrat dapat menyentuh hati-hati masyarakat melalui tinta penanya.